ULASAN KES PENGESAHAN LAFAZ CERAI PU ABU

16-05-2019 00:05

Semalam dan hari ini, inbox admin dihujani dengan pertanyaan dari orang awam berkenaan kes pengesahan lafaz cerai antara PU Abu dan isterinya.

Mereka meminta admin mengulas tentang keputusan yang di buat oleh Tuan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Klang bila mana mahkamah tidak mengesahkan lafaz cerai tersebut.

Pertama kali, apa yang perlu kita fahami dalam kes pengesahan lafaz cerai adalah LAFAZ itu sendiri. Mahkamah terlebih dahulu perlu memastikan samada lafaz itu lafaz yang jelas (sarih) atau lafaz yang samar-samar (kinayah).

Lafaz Melalui Medium Whatsapp

Di dalam kes PU Abu ini, beliau didakwa melafazkan cerai melalui kiriman aplikasi whatsapp. Secara automatik, lafaz cerai tersebut jatuh dalam kategori lafaz KINAYAH.

Isu lafaz cerai melalui whatsapp ini sudah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

Rujuk Mahkamah Syariah

Semua penceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk menthabitkan talak tersebut.

Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah penceraian yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan oleh syarak.

Tambahan pula, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan hal yang sama iaitu talak yang diucapkan melalui pesanan ringkas (sms) atau sebagainya termasuk di dalam talak secara kinayah.

Niat Suami

Isu kedua yang perlu diputuskan adalah niat PU Abu semasa menaip whatsapp tersebut.

Talak tidak akan berlaku melainkan apabila si suami memang berniat untuk menceraikan isterinya.

Ini kerana, pesanan ringkas ini termasuk di dalam khabar (berita) yang boleh jadi ia benar dan boleh jadi ia dusta.

Apabila berlaku perkara seperti ini, si suami akan ditanya akan niatnya. Jika dia memang berniat untuk menceraikan isterinya, maka ia dikira (jatuh talak tersebut). Jika sebaliknya, maka ia tidak akan dikira.

Di dalam kes PU Abu ini, apabila ditanya oleh mahkamah, beliau mendakwa beliau tidak berniat menceraikan isterinya. Tambahan pula, beliau sanggup bersumpah bahawa beliau tidak berniat menceraikan isteri beliau.

Berdasarkan iqrar (pengakuan) dan sumpah yang di buat oleh PU Abu, maka mahkamah memutuskan bahawa lafaz cerai tersebut tidak sah dan kedua-dua pihak masih lagi suami isteri yang sah menurut hukum syarak.

Admin berpendapat keputusan mahkamah adalah tepat, namun pihak yang tidak berpuas hati boleh memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari.

Read more...